The Idiot Box

menarik….

Monday, July 25, 2005

Hishamuddin Rais

Melangak di hadapan kaca tv ini, baru sahaja sampai ke dalam pembudayaan masyarakat kita. Sistem alat penyiaran bergambar ini mula menjadi objek yang diberahikan (object of desire) di negara Eropah dan Amerika Syarikat sesudah perang dunia yang kedua. Di Malaysia budaya melangak di hadapan kaca tv ini belum pun sampai dua generasi. Malah sehingga ke tahun 1974, di kampung saya dalam daerah Jelebu alat siaran tv ini masih lagi belum sampai. TV hanya dapat masuk ke daerah Jelebu apabila Rais Yatim seorang anak Jelebu mula menjadi Menteri Penerangan. Bayangkan betapa ulunya Jelebu di masa itu.

Secara positif, ini bererti semasa saya membesar saya tidak mengetahui objek ini. Apa yang menjadi alat hiburan kami ketika itu ialah radio. Untuk memenuhi masa yang lain kami membaca – buku-buku cerita, komik, novel dan akhbar harian. Ertinya budaya membaca telah mula mengukuh ketika tidak adanya tv. Radio pada ketika itu tidak dilihat sebagai saingan malah dilihat sebagai alat penyokong kepada budaya membaca.

Dalam masa dua dekad yang lepas, budaya radio telah berubah wajah – dari alat penyampai berita dan maklumat kini telah menjadi 99% alat hiburan. Budaya membaca yang baru hendak berakar cambah dalam negara kita kini telah terbantut. Semua ini hasil dari asakan dan ledakan kedatangan tv. TV hari ini telah beralih dari objek yang diberahikan kepada objek yang wajib ada di dalam rumah. Kini tv telah dianggap setaraf dengan kuali atau cerek air. Alatan-alatan ini diperlukan di semua rumah.

Dalam budaya semua bangsa, pinjam-meminjam dan tiru-meniru adalah perbuatan yang biasa dan bukan sesuatu yang salah. Semua budaya bangsa ada memiliki ciri pengaruh luaran. Tidak wujud satu tamadun bangsa yang monolitik. Kita juga mengambil, meniru dan menyesuaikan ciri luaran dengan keadaan budaya bangsa kita. Ini akan memperkayakan dan merancakkan lagi pembudayaan.

Tetapi objek yang dipanggil nama tv ini agak berlainan sedikit perangainya. Tidak seperti objek meja, sepatu, bendera atau almari yang datang dari negara Benggali Putih – Portugal. Kita menggunakan objek-objek dengan keselesaan dan tepat. Begitu juga kita menyesuaikan penggunaan objek songkok yang berasal dari Afghanistan. Untuk saya penggunaan objek tv ini cukup pelik lagi memelikkan.

Dari ingatan saya, pada tahun 1972 dahulu, tv kita hanya ada memiliki satu saluran hitam putih sahaja. Pada ketika itu saya pernah melihat sebuah rumah orang Melayu (yang berjaya) – kalau dalam istilah hari ini keluarga ini ialah Melayu Baru – yang memiliki 3 peti tv. Satu di ruang tamu. Satu di meja makan dan satu di dapur. Dalam tahun 1972 saya kurang arif apakah rancangan yang ingin diikuti oleh Melayu Baru ini. Ketika itu video atau CD belum wujud. Tetapi kerana saya dari Jelebu yang tidak ada tv maka saya menganggap inilah budaya terkini orang bandar.

Kerimasan saya pada tahun 1972 itu rupa-rupanya tidak berganjak. Hari ini objek tv ini bukan hanya sedang merimaskan saya tetapi telah sampai ke tahap menyesakkan nafas. Untuk saya objek tv ini sedang betul-betul menekan wujudiah saya. Kerimasan yang saya hadapi ini bukan kerana isi dan rancangan yang disiarkan. Ini satu perkara yang lain.

Apa yang merimaskan saya ialah benda ini terus-menerus mengekori saya ke mana sahaja saya pergi. Benda tv ini telah menjadi bayang kita semua. Ke mana sahaja kita bergerak benda tv ini akan bergerak sama. Bayangkan, minggu lepas saya telah dijemput bertandang untuk makan tengah hari oleh satu keluarga Melayu. Sesampai saja ke ruang tamu saya terlihat tv sedang terpasang. Seorang anak kecil belasan tahun sedang melangak di hadapan tv.

Keluarga yang menjemput saya ini tidak pula memadamkan alat tv ini walhal tamu yang diundang telah sampai. Sambil berlabun berkenal mesra, mata tuan rumah sesekali mengintai ke kaca tv. Ini berlaku apabila suara dari tv ini menjadi kuat dan keras. Saya menjadi amat tidak selesa. Apabila makan tengah hari dihidangkan kami semua betul-betul dipaksa duduk di hadapan objek ini.

Rasa saya apa yang saya alami minggu lalu bukan sesuatu yang terpencil. Pernah satu ketika di kota London saya telah di jemput bertandang ke sebuah rumah orang Melayu di Nottinghill Gate – kawasan perumahan kelas menengah kota London. Sesampai sahaja saya ke rumah ini, si tuan rumah tanpa diminta telah memasangkan alat tv. Dengan serta merta saya merasa rimas. Bayangkan, ruang tamu ini bukan besar sangat, jadi mata kami amat susah untuk melarikan dari diharu oleh suara dan gambar dari objek ini.

Saya merasa susah bernafas kerana diasak oleh objek tv ini. Lalu saya cuba membuat alasan meminta diri tetapi tuan rumah ingin pula menghidangkan sesuatu kepada saya. Apabila mereka ke dapur saya terus memadamkan alat ini. Bila sang suami masuk ke ruang tamu dia terus memasang tv itu sekali lagi. Kali ini si suami terus mencari-cari saluran untuk memperagakan alat tvnya yang ‘connected’ dengan satelit. Saya terpaksa duduk seperti budak kampung dari Jelebu yang belum pernah melihat tv. Ketika itu saya terfikir mungkin saya lebih selesa menginap di neraka dari duduk satu jam di hadapan tv sambil menjadi tamu pasangan Melayu ini.

Ruang tamu dihiasi dengan tv ini bukan sesuatu yang baru. Saya rasa tidak ada pencemaran estetika yang berlaku jika tv didudukkan di sebelah radio atau bersama sistem bunyi untuk mengindahkan ruang tamu. Apa yang merimaskan ialah tv ini terus-menerus terpasang tidak mengira waktu. Dan yang paling menjelikkan ialah benda tv terus terpasang ketika tamu datang bertandang. Saya tidak tahu ke mana perginya ramah-tamah budi bahasa menyambut tamu. Tetamu datang ke rumah bukan hendak menonton tv – mereka datang untuk berkenal mesra dan merapatkan persaudaran. Kenapa alat tv ini dibenarkan mencelah dan mengganggu.

Saya tidak tahu dari mana ‘gila tv’ ini muncul. Hari ini di warung, di restoran, di mana- mana sahaja ruang nampaknya ada sahaja benda ini terpasang. Kalau ada sepuluh baris warung makan pasti ada sepuluh buah kaca tv yang terus menerus menyalak. Seharusnya semasa kita di restoran atau di warung, kita bukan sahaja ingin melayan selera tetapi kita juga seharusnya ingin menikmati perbualan antara kita sesama manusia tanpa diganggu oleh tv. Apakah para pelanggan ini datang kerana hendak menonton tv kerana tv di rumah mereka telah disambar tsunami.

Jangan marah jika saya katakan bahawa dalam masyarakat Melayu, terutama di Hari Raya, peranan objek tv ini amat menjijikkan. Jika tidak percaya tunggulah hari raya tahun ini. Bertandanglah ke rumah saudara atau jiran tetangga. Liarkan mata dan pasti akan ternampak dua tiga malaun yang sedang melangak di hadapan kaca tv tanpa mempedulikan kedatangan sanak-saudara; walaupun di pagi hari raya pertama.

Dari semua yang saya lihat ini maka saya dapat memahami rasional kenapa peti tv ini diberikan nama jolokan ‘idiot box’ atau kotak bangang. Kotak ini memang tidak memiliki akal. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang terus melangak di hadapan kaca tv – apakah mereka juga sama bangang dan otak mereka telah menjadi kaca.

4 Respons

  1. Assalamualaikum,
    Tok Mudin,

    I am starting an initiative to promote Malaysians to watch less TV. Would you be interested ?

    Visit http://lesstv.blog.com

  2. Waalaikumussalam abg hairul,

    Ketemu juga blog ini ya! Saya sokong inisiatif abang hairul, tapi saya sendiri belum boleh tinggal TV. Masih mahu tonton game Arsenal! Heh heh!

  3. […] Abg Hairul, pensyarah MMU, naqib dan mentor Abu Adam, meninggalkan komen ini di The Idiot Box : Assalamualaikum, Tok Mudin, […]

  4. assalamualaikum abg hairul & tok mudin…

    sokong 100%!!! alhamdulillah family saye pun jarang tgk tv gak. hari tu kitorang bersyura sama ade nak pasang astro ke tak, alhamdulillah majoriti menolak.

    kalau nak tgk cerite, pinjam dvd dari tok mudin..pastu tak pulang2kan dvd tu…ahahaha (soree asyik lupe je)

    Takbir!! 😀

Tinggalkan komen