Jenayah: Apa nak jadi Malaysia

Wednesday, February 02 @ 19:03:47 MYT

Oleh NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Saya rasa, kita boleh mudah memahami kekecewaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan trend peningkatan kes-kes jenayah. “Apa nak jadi pada negara kita.” (Berita Minggu 30 Januari 2005).

Beliau selanjutnya mengeluh dengan kata-kata “seolah-seolah penjenayah tidak takut kepada undang-undang sedia ada.” Selaras dengan inilah, Perdana Menteri mahu kaji kemungkinan mewujudkan undang-undang yang lebih berat.
Pada saya, undang-undang yang ada sekarang memang tidak berkesan. Jika ia berkesan, sudah lama gejala sosial dan jenayah dapat dipantau, dikawal dan ditangani. Keluhan berat Perdana Menteri mengenai kes-kes rompakan bersenjata, rogol, bunuh, zina, sumbang mahram, pengedaran dadah, samseng jalan raya, penipuan dan VCD cetak rompak (Berita Minggu 30 Januari 2005) mengesahkan perihal gagalnya sistem keadilan ciptaan manusia tajaan Umno yang berkuatkuasa di Malaysia.

Kita kena faham yang dunia dan segala makhluk yang dibenarkan hidup di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah S.W.T. Dia lebih mengetahui kaedah terbaik untuk melahirkan kesejahteraan. Agama Islam yang diturunkan adalah satu-satunya manual yang sah. Mematuhinya dengan lengkap dalam satu sistem yang menyeluruh akan menjadikan seluruh ciptaanNya bergerak mengikut fitrah yang saling membantu, saling membangun dan saling menyelamat.

Inilah puncanya PAS jadikan mottonya yang berbunyi “MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”. Kita akan makmur dengan pembangunan kebendaan dan akan terus aman. Seperti yang kita sebutkan tadi, Islam wajib dilaksanakan keseluruhan. Setiap komponen yang meliputi peranan ibu bapa, guru-guru, kurikulum pendidikan, media massa, institusi penghulu, penggawa, seluruh penjawat awam, kod-kod etika yang menjadi teras perkhidmatan, menteri dan pemimpin masyarakat keseluruhan wajib dicorakkan oleh Al-Quran dan Hadith. Ertinya, seluruh aspek hidup meliputi pembangunan ekonomi, akhlak individu dan warga negara di segenap sektor seperti pendidikan, sosial seni, hiburan, sains dan kebudayaan wajib diselaraskan dengan kehendak Islam.

Mustahil jenayah rogol, zina, sumbang mahram dan khalwat boleh dibendung jika lesen nite club, pusat-pusat khidmat GRO, gedung-gedung judi dan majalah separuh lucah dibenarkan terus beroperasi dengan bebas. Nampaknya di sini, pemimpin UMNO di dalam kerajaan seolah-olah membuat usaha promosi dan penggalakan. Kira-kira dua minggu lalu, Perdana Menteri juga ada melancarkan kempen hidup berbudi. Itu baguslah tetapi kempen rakyat supaya berbudi sahaja tidak cukup jika pemimpin asyik gemar meluluskan kegiatan-kegiatan yang menyuburkan maksiat.

Saya masih ingat lagi bagaimana pegawai-pegawai pencegah maksiat dari JAWI menangkap 100 orang pelanggan pusat hiburan di Kuala Lumpur. Di sini, siapa yang meluluskan lesen? Saya boleh faham jika ia beroperasi secara haram tetapi jika ia memiliki premis yang sah dan ‘dihalalkan’ oleh undang-undang, maka bagaimana?

Banyak terdapat contoh-contoh melampau yang boleh disebutkan. Pusat judi di Genting Highlands? Jualan arak tanpa kawalan. Pertandingan akhir Akademi Fantasia. Sure Heboh. Malaysia Idol. Konsert Scorpion. Mariah Carey. Ini semua kegiatan-kegiatan hiburan yang terang-terang menggalakkan remaja bergaul dan berpakaian bebas tanpa batas. Ia anehnya ditaja oleh kerajaan. Kerajaan itu yang kempen rakyat agar hidup berbudi tetapi kerajaan itu jugalah yang buat tidak faham jika remaja menunjukkan “body” baik depan atau belakang. Sekali mahu semai kesopanan dan kesusilaan seperti yang dirukunkan dalam rukun negara tetapi di satu ketika yang sama beri racun yang boleh melalai dan menghanyutkan.

Berkaitan dengan cadangan untuk mengetatkan lagi hukuman, tentulah ia sesuatu yang baik bagi Malaysia. Akan tetapi undang-undang mana? Jika undang-undang yang hendak diperketatkan adalah masih berteraskan undang-undang manusia, maka saya tidak nampak. Sudah berdekad-dekad, Malaysia telah mencubanya. Hasilnya? Inilah hasilnya. Kita masih mendengar keluhan demi keluhan.

Dalam konteks ini, tidak terlintas sedikitkah untuk kembali kepada Hukum Allah S.W.T. Belum tibakah keyakinan dan keimanan yang Hukum Hudud itu adalah hukum terbaik? Perlu tunggu apa lagi jika sudah yakin dengan kebaikannya. Tarik balik saman seorang peguam yang terlebih handal, yang menjadi Wakil Parlimen UMNO itu ke atas pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu dan bermulalah dari sekarang untuk mencari jalan ke arah melaksanakan hukum Allah S.W.T. Percayalah, selagi perintah Allah S.W.T. itu dinafikan penguatkuasaannya, tidak akan ada jawapan mudah mengenai formula menangani kejadian jenayah di Malaysia.

Jika Datuk Seri Perdana Menteri bertanya “apa nak jadi dengan negara kita”, maka saya boleh meneka jawapannya iaitu, “Malausia akan binasa.”. Saya tidak mahu ini berlaku tetapi apalah daya kita untuk menolak bala yang bakal ditimpa ke atas kita oleh Allah S.W.T. Bagaikan tsunami yang diturunkan Allah S.W.T. pada 26 Disember 2004, demikianlah juga bentuk binasa yang bakal didatangi jika kita masih menolak hukumNya. Jika tidak esok, lusa!

“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertakwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam Syurga-Syurga yang penuh kenikmatan.”

“Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan Al-Quran, yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Diantara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.”
(Surah Al-Maidah; Ayat 65 dan 66)

Di sini, tidak syak lagi yang kita meniru Eropah. Proses sekularisasi yang memisahkan negara dengan gereja pada abad ke 12 dan 13 telah diimport dan diterima masuk oleh pemimpin sekular kita daripada UMNO yang berteraskan faham kebangsaan. Dalam konteks Malaysia, kita letakkan negara dengan Islam dalam dua entiti yang terpisah. Ini jelas dalam Perkara 4 Ceraian 1 Perlembagaan Persekutuan. Inilah punca yang menjadikan Malaysia seolah-olah dibiarkan membawa diri untuk terus berjauhan dari agama.

Kita boleh bercakap soal kegawatan sosial dan keruntuhan akhlak tetapi kita masih boleh melupai agama sebagai formula penawarnya. Alangkah kroniknya penyakit kita. Pertanyaan yang berbunyi , “apa nak jadi” sebenarnya cukup melambangkan perihal jauh tersesatnya kita memilih jalan. Dalam menggambarkan keadaan sebegini, Ibn. Taimiyyah ada mengumpamakan kisah seorang yang menuju ke lorong gelap. Apabila jauh berada dalam kegelapan, maka terus dipadam pelitanya. Maka sempurnalah sebuah kesesatan.

Jika Perdana Menteri mengeluh, “apa nak jadi”, maka saya akan jawab: ENTAH!

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Quran).”
(Surah An-Nisaa’: Ayat 174)

Bertarikh : 21 Zulhijjah 1425/
1 Februari 2005

sumber: Harakahdaily

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: