PEMBELAAN WANITA ISLAM PERLUKAN PENDEKATAN BIJAKSANA

KENYATAAN MEDIA WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH
MALAYSIA (JIM)

24 MAC 2005

PEMBELAAN WANITA ISLAM PERLUKAN PENDEKATAN BIJAKSANA

Akhir minggu lepas, media di seluruh dunia melaporkan
mengenai insiden di mana Dr. Amina Wadud menjadi imam
dan khatib dalam solat Jumaat yang dihadiri oleh
sekumpulan jemaah wanita dan lelaki di Manhattan, New
York. Insiden itu berjaya mendapat publisiti meluas
dan menarik perhatian umum. Tindakan `di luar
kebiasaan’ ini bertujuan menyanggah ketetapan yang
melarang wanita menjadi imam dalam solat jemaah umum
yang dihadiri oleh lelaki dan wanita. Larangan
tersebut dikatakan berdasarkan semata-mata kepada adat
kebiasaan kuno dan tidak mempunyai asas yang
bersandarkan kepada ajaran Islam yang sebenarnya.
Langkah berani mencabar `status quo’ itu dianggap
sebagai satu usaha memartabatkan hak wanita Islam
untuk memimpin jemaah dalam solat dan berada dalam
mana jua saf solat di masjid, bukannya terperosok di
bahagian saf paling belakang.

Sebagaimana yang dijangkakan, insiden ini menimbulkan
pelbagai reaksi dari banyak pihak. Golongan pejuang
hak kebebasan wanita (feminis) menobatkan ` peristiwa
bersejarah ini’ sebagai satu kejayaan besar dan
bermakna bagi kelompok wanita Islam yang dianggap
liberal, sederhana dan moden dalam penentangan mereka
terhadap pegangan fundamentalis dan `chauvinist’ para
ulama Islam yang dikatakan telah membelenggu kemajuan
wanita Islam selama ini. Terdapat juga kelompok umat
Islam yang menunjukkan kemarahan dan sikap penentangan
yang meluap-luap, sehinggakan terdapat ancaman bunuh
serta pengeboman terhadap kumpulan tersebut.
Sebahagian besar umat Islam yang peka dan prihatin,
merasa terkejut dan keliru dengan apa yang cuba
diutarakan, disamping mengadakan perbincangan sesama
sendiri serta cuba mendapatkan penjelasan selanjutnya
dari sumber-sumber rujukan yang ada.

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
menegaskan pendirian menolak sebarang usaha dan
tindakan memperkenalkan sesuatu yang bersifat baru
kepada ketetapan-ketetapan yang berkaitan dengan
amalan ibadah yang telah dipersetujui oleh jumhur
ulama sebelum ini. Wanita JIM menganggap apa yang
berlaku di New York pada hari Jumaat yang lepas,
sebagai satu tindakan keterlaluan yang
mengganggu-gugat keseimbangan dan keharmonian tempat
ibadah yang selama ini menjadi pusat aktiviti umat
Islam. Ketetapan bahawa wanita dilarang menjadi imam
solat dan ditempatkan di saf atau barisan belakang
tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan merendahkan
martabat wanita, sebaliknya satu peraturan yang
mengandungi hikmah tersendiri yang telah diamalkan
semenjak zaman Rasullullah SAW. Wanita JIM jelas
bahawa ketetapan itu tidak termaktub secara hitam
putih di dalam Al-Quranul Karim, namun amalan yang
dipersetujui oleh Rasulullah SAW itu menjadi garis
panduan untuk ummah seterusnya. Wanita JIM juga
menyedari terdapatnya perbezaan pendapat di kalangan
ulama mengenai wanita menjadi imam kepada solat jemaah
yang dihadiri lelaki dan wanita. Namun Wanita JIM
mengambil sikap menerima jumhur atau pandangan yang
dipersetujui oleh majoriti ulama. Jika rasional akal
mengatakan seorang wanita yang amat mendalam ilmunya
mengenai Al-Quran dan Hadith sepatutnya layak
mengimami solat jemaah umum dan membaca khutbah,
sejarah tentunya sudah mencatatkan Saidatina Aishah RA
sebagai wanita pertama yang mengimami solat jemaah
yang dihadiri kaum lelaki dan wanita, dan tidak perlu
perkara itu dimulakan oleh seorang wanita Islam di
tengah-tengah kota metropolitan Manhattan 1,400 tahun
selepas itu!

Wanita JIM berpandangan usaha-usaha retorik seperti
ini hanya akan membantutkan sahaja usaha murni
golongan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan
pembelaan nasib wanita Islam di dunia yang sememangnya
didapati ketinggalan dalam aspek-aspek asas seperti
pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kepimpinan.
Tindakan mencabar satu ketetapan ibadah yang sudah
diterima umum seperti ini akan hanya berjaya
mendapatkan publisiti murahan, namun tidak langsung
dapat membantu pembelaan ribuan lagi wanita yang
terbelenggu dengan kemiskinan, adat resam yang
menindas dan undang-undang yang tidak memberikan
pembelaan sewajarnya sebagaimana yang ditetapkan oleh
Islam.

Wanita JIM menegaskan pendekatan provokatif seperti
ini perlu ditukar dengan strategi yang lebih
bijaksana, berhikmah dan mempunyai kesan impak yang
lebih positif. Dalam konteks inii, Wanita JIM mengajak
wanita Islam agar:
· terus memperkasakan diri dengan ilmu dan
pengetahuan yang murni mengenai Islam dan segala aspek
lain.
· Pembaikan atau islah mestilah dilakukan dengan
mengambil pendekatan melibatkan semua pihak dalam
masyarakat, lelaki wanita, tua atau muda.
· Pendekatan mestilah diolah agar misi pembelaan
nasib wanita ini dilihat oleh semua pihak sebagai
sesuatu yang akan memberikan manfaat kepada semua,
bukan hanya wanita, malahan jua lelaki dan anak-anak.

Wanita JIM menyeru semua pihak terbabit agar dapat
mengadakan perbincangan secara terbuka dan intelektual
mengenai isu pembelaan status wanita ini. Wanita JIM
menolak cara yang diambil setakat ini, di mana perang
mulut di dada akhbar dan laman-laman web berlaku hanya
selepas provokasi dan kontroversi dicetuskan.
Sekiranya umat Islam benar-benar mahu maju, tindakan
yang lebih matang, terbuka dan strategik haruslah
diambil untuk menangani segala perselisihan pendapat
dan pandangan di kalangan kita.

Ditandatangani oleh,
Dr.Harlina Halizah Hj Siraj
Ketua Wanita Pusat
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: