Isu batal puasa

Artikel ini aku baca tahun lepas lagi. Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin.  Aku cari di blognya tak jumpa.  Alhamdulillah, masih ada diblog Abang Rahimi.  Aku cari untuk bacaan semua.  Saja berkongsi, kerana ramai dikalangan kita yang merasakan kita sudah tahu semua, tahu segala.  Sudah cukup dengan apa yang dipelajari di sekolah dulu.  Tak perlu belajar lagi. 

Bacalah artikel di bawah ini.  Buka minda, teruskan belajar. Moga dapat manfaat. Wallahua’lam.

 

Isu Batal Puasa

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

http://www.zaharuddin.com

Minggu lepas saya telah menyebut secara ringkas beberapa amalan terbaik yang perlu kita ambil perhatian di bulan mulia ini (sila rujuk http://www.zaharuddin.com). Minggu ini saya suka untuk mengupas sedikit perihal pembatalan puasa. Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja. Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah kurang tepat, demikian juga. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang kadangkala tidak memerlukan perhatian lebih. Masalah bertambah, apabila ijtihad seumpama ini menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramdhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Hakikatnya, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa. Berikut beberapa hukum secara ringkas dari beberapa perbuatan berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala. Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur. Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh : Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah : Hukumnya : Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melaui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal : Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan. Adapun suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya; para ulama berbeza pandangan : Pandangan majoriti dan yang lebih kuat adalah : Tidak membatalkan puasa, ia fatwa Syeikh Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ). Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu. Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. JUsteru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik. Berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu , dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; sohih)berpuasa.

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat : Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)

Advertisements

Ibu Lina Joy dalam Forward

IMAGE_00514 IMAGE_00513

Majalah Forward keluaran September 2007 ada memuatkan cerita tentang ibu Lina Joy. Ceritanya lebih kurang sahaja dengan apa yang diceritakan oleh bapa saudara Lina Joy di forum Islam dan Cabaran Semasa bulan lalu.  Kepada yang tidak berpeluang hadir ke forum tersebut bolehlah mendapatkan naskhah ini.

For a Muslim like Kalthum, having an apostate daughter weighs heavily on her religious beliefs but she is a mother.

“No matter what has happened, Alin is still my daughter. Please pray in the enlightened month of Ramadhan that she comes back to her family,” she says.

Ya, bukan sahaja kembali kepada keluarganya. Tapi lebih lagi, kembali kepada Islam. Sama-samalah kita doakan. Amin.

Pelajar MMU bunuh diri. Ini dah kes keberapa ya? Something wrong somewhere…

Ok la… aku cerita, aku cerita!

Bengang. Dikejutkan pada jam 0040 oleh deringan telefon bimbit bertalu-talu. Mat Saleh yang sepatutnya bertugas malam ini tidak dapat dihubungi. Mabukkah mamat itu? Terpaksalah aku menggantikannya. Nasib baik rumah aku dekat saja dengan tempat kerja, tak sampai 10 minit.

Ops… bukan itu yang mahu aku ceritakan.

Sekarang pasal forum. Aku sampai lebih sedikit jam 9 pagi. Majlis baru bermula. Kehadiran, tidaklah seramai di masjid wilayah, kata beberapa hadirin yang hadir. Aku tidak tahu, kerana aku tidak hadir ke masjid wilayah sebelum ini.

Tak banyak yang ingin aku ceritakan. Kebanyakannya tidak ada benda yang baru. Apa yang diutarakan oleh ahli-ahli panel yang hadir itu perkara sama yang telah selalu diulang-ulang.  Tetapi yang menjadikan forum ini istimewa barangkali, adalah kemunculan ahli keluarga Azalina @ Lina Joy sendiri. Ibunya, adik beradiknya, dan juga bapa saudaranya.

Bapa saudara Lina Joy menceritakan kronologi apa yang berlaku. Bermula dengan perkenalan Lina dengan Johnson pada tahun 1994 kerana kemalangan yang dialami oleh Lina. Johnson adalah orang yang menolongnya membuat laporan polis, menguruskan tuntutan insurans kereta dan lain-lain. Memang baik orangnya, kata beliau.

Setelah kantoi kerana ibunya terjumpa salib di dalam beg tangan Lina pada tahun 1997, pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarganya untuk mengembalikan Lina kepada Islam. Termasuklah meminta bantuan JAIS, Mufti Selangor ketika itu Dato’ Ishak sendiri turun padang bertemu dengan Lina. Tahun lalu, ibu Lina ke Makkah mengerjakan umrah, memohon kepada Yang Esa untuk mengembalikan Lina. Hidayah itukan kerja Tuhan? Ini untuk menjawab tuduhan liar yang mengatakan keluarga beliau sendiri tidak ambil kisah.

Satu lagi panelis yang benar-benar menarik perhatian aku ialah peguam Pawancheek Merican. Pendek sahaja, tapi padat. Beliau menyentuh dua perkara sahaja.

  1. Penggubalan undang-undang menghalang orang Islam keluar dari agama Islam yakni murtad adalah dibawah bidang kuasa negeri-negeri. Pada saat ini, ada empat negeri yang belum ada undang-undang ini, iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Untuk makluman, Lina Joy dibaptiskan di Wilayah Persekutuan. Bila empat negeri ini mahu luluskan undang-undang tersebut? Kamu tanyalah mereka yang sepatutnya kamu tanya.
  2. Persoalan Malaysia, negara Islam atau negara sekular. Kata beliau (berdasarkan pemahaman aku), mengikut perlembagaan, Malaysia bukan negara sekular. Ini kerana negara sekular, tidak boleh memilih agama untuk rakyatnya, tidak boleh ada favoritism terhadap mana-mana agama, dana negara juga tidak boleh dibelanjakan untuk kepentingan mana-mana agama. Perlembagaan Malaysia terang dan jelas menyebut Islam sebagai agama rasmi, Malaysia juga memperuntukkan berbillion(?) ringgit untuk kemajuan(?) Islam (Hadhari?). Pembinaan masjid-masjid, JAKIM, IKIM, dan lain-lain. Kesimpulannya, Malaysia bukan negara sekular. Persoalan samada Malaysia negara Islam atau tidak, itu adalah perkara lain yang amat kompleks untuk dibincangkan.

Hah, siapa suruh aku bercerita? Kan panjang tu. Itu baru 2 panelis. Mahu lagi? Baca apa kata Mahaguru58, beliau ada banyak gambar 🙂

Bengang, bengang! Belum habis lagi bengang….

Resolusi Forum Islam dan Cabaran Semasa

Ahad, 2 hari lepas, hadir ke forum anjuran PEMBELA di Masjid al-Falah, USJ 9. Insya Allah, kalau ada masa dan mood aku cuba kongsi apa yang aku dapat di sana. Sementara itu, kalau berminat, boleh muatturun dan baca resolusi forum tersebut.

ResolusiForum1

ResolusiForum2

Oh ya, Azalina @ Lina Joy, ibu kamu rindukan kamu!

Hadirin

(Gambar oleh Mahaguru58)

Hebahan: Forum Islam dan Cabaran Semasa di Malaysia

[Hari ini sibuk sangat. Sangat-sangat sibuk. Ingat nak sambung cerita orang makan gaji, tapi tak sempat naik taip, jadi letak benda ini dululah!]

Kat Mana?  Masjid Al Falah, USJ9, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Bila?  Ahad, 12 Ogos 2008

Masa? 8:30 AM – 1.00 PM

forum-poster

Tazkirah Jumaat: Jihad memerangi ISA

Sahabat,

Andai kalian sedang merayau-rayau di blog-blog, atas apa tujuan sekalipun; mencari hiburan atau berita sensasi.

Aku mahu halakan kalian kepada tulisan ini. Itulah yang sepatutnya kalian baca pada hari Jumaat ini. Jangan buang masa lagi. Baca, baca!

Memerangi ISA adalah jihad yang tiada taranya di bumi kita. Memeranginya adalah seperti memerangi kerakusan Yahudi di bumi Palestin juga. Kerana ISA Islam ditekan sehingga melukut di kaki pemerintah. Pejuangnya dan seluruh pejuang keadilan dianiayai. Rakyat menjadi takut dan bacul. Ruh jihad Islami dipadamkan. Yang tinggal hanyalah ummat yang hanya tahu merintih dan hidup berangan-angan.

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!

Tazkirah Ringkas: Jangan takut dilabel fanatik

Kewajiban seluruh umat Islam, khususnya masyarakat Islam yang telah dikurniai jiwa kemerdekaan dan telah merasakan peribadatan kepada Allah, dan lebih saya tekankan lagi para ulama dan kaum terpelajar, adalah, “Bersikaplah waspada! Janganlah kalian sampai terperosok ke dalam perangkap. Janganlah kalian takut mendapatkan label ‘fanatik’. Janganlah kalian khawatir dituduh golongan fanatik dan berpegang teguh pada sunnah. Dan janganlah kalian berlepas diri dari Islam sebagai prinsip dan dari hukum-hukumnya yang berkilau serta dari keterusterangan tujuan kalian dalam masyarakat religius dan sistem pemerintahan tauhid sehingga musuh-musuh kalian yang keji menjadi senang karenanya.”

Ali Khamenei, Perang Kebudayaan, Penerbit Cahaya, Jakarta, 2005.

 

Text Link Ads